Ekspo ketengahkan maklumat pendidikan, pilihan kerjaya masa hadapan





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman

 






JERUDONG, Sabtu, 7 Februari. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Biasiswa dan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) pada pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Ekspo Pengajian Tinggi kali Ke-11 Tahun 2026, di BRIDEX, Jerudong.


Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan pelancaran ekspo tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Tetamu kehormat seterusnya mengunjungi petak-petak pameran yang terdiri daripada agensi-agensi Kerajaan Negara Brunei Darussalam, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta kedutaan-kedutaan dan agensi-agensi yang berkaitan, di mana Ekspo Pengajian Tinggi kali ini disertai oleh lebih 60 pempamer.


Penyertaan tersebut merangkumi lapan institusi pengajian tinggi awam dan lapan institusi pengajian tinggi swasta tempatan, 26 agensi dan institusi dari luar negara, serta dua wakil kedutaan.


Selain itu, ekspo ini turut disertai oleh 10 agensi kerajaan dan 15 agensi swasta yang berkaitan.


Ekspo Pengajian Tinggi akan diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga Ahad, 8 Februari 2026 bertempat di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong.


Ia akan dibukakan kepada orang ramai bermula hari ini dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala pada Ahad, 8 Februari 2026 ekspo akan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.


Pada tahun ini, ekspo juga akan diisikan dengan sesi-sesi taklimat sepanjang dua hari tersebut, yang dirangka untuk memberikan para pelajar pendedahan serta maklumat mengenai pendidikan tinggi dan pilihan kerjaya pada masa hadapan.


Ekspo ini dibukakan kepada orang awam, khususnya pelajar lepasan menengah (lepasan Brunei Cambridge GCE 'O' Level) dan pra-universiti (Brunei-Cambridge GCE 'A' Level) atau yang berkelulusan sebanding yang berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk mereka yang ingin mengembangkan kemahiran secara 'upskilling' dan 'reskilling'.


Institusi-institusi yang terlibat juga akan mengongsikan program-program seperti National Technical Education Certificate (NTec); Higher National Technical Education Certificate (HNTec); Diploma; Ijazah Sarjana Muda; Ijazah Sarjana dan program Ijazah Kedoktoran.


Semasa Ekspo Pengajian Tinggi berlangsung, Kementerian Pendidikan juga akan membarigakan maklumat-maklumat terkini seperti Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi atau Higher Education Centralized Admission System (HECAS), biasiswa-biasiswa kerajaan, dan permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan.


Antara jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang turut serta menyertai ekspo tersebut adalah Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) dan Unit Pendidikan Kerjaya dari Jabatan Sekolah-Sekolah.


Ekspo Pengajian Tinggi kali Ke-11 Tahun 2026 diungkayahkan bertujuan untuk menyediakan Pusat Maklumat Sehenti (One-Stop Information Centre) Pengajian Tinggi yang komprehensif yang menghimpunkan institusi pengajian pasca menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi sektor pendidikan dari dalam dan luar negara bagi berkongsi maklumat mengenai pelbagai prospek akademik yang tersedia di dalam negara dan di luar negara.


Di samping itu, menyediakan Interaksi Bersemuka bagi Mendapatkan Maklumat Tepat dengan memberikan peluang kepada orang ramai, khususnya para pelajar, untuk bersemuka dengan wakil institusi dan agensi pendidikan.


Inisiatif ini memudahkan pelajar mendapatkan bimbingan serta maklumat terperinci yang diperlukan bagi merancang masa depan akademik mereka.


Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai ekspo tersebut, layari laman web rasmi Kementerian Pendidikan di 'www.moe.gov.bn' dan laman web Jabatan Pengajian Tinggi di 'www.hiedbrunei.moe.gov.bn'.


Maklumat terkini juga boleh didapati melalui akaun Instagram rasmi '@moe_brunei' dan '@hiedbrunei'.

 

Close